Oleh FAUZI MOHD
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kesal dengan tindakan pihak tidak bertangungjawab yang menyimbah cat hijau di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong dan bangunan UMNO di Hulu Terengganu.
Menurutnya, kejadian seumpama itu adalah yang pertama berlaku di negeri ini dan berharap pihak polis dapat membuat sisatan seterusnya mengambil tindakan selanjutnya berhubung kejadian itu.
“Saya tidak tahu apa motif dan tujuan sebenar mereka melemparkan cat di bangunan UMNO serta pejabat Adun dalam kejadian yang berlaku malam tadi.
“Cuma apa yang kita harapkan pihak polis akan membuat siasatan, insyallah kita mungkin dapat melihat rakaman apa yang berlaku di kawasan bangunan UMNO di Kuala Berang sekiranya kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan itu berfungsi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui selepas Program Diskusi Bajet 2012 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.
Dato’ Seri Ahmad mengharapkan kepada orang ramai dan masyarakat setempat yang nampak kejadian mencurigakan di kawasan berkenaan malam kelmarin boleh menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
“Waktu kejadian dan motif tindakan yang dilakukan mereka ini juga tidak dapat dipastikan sama ada bersifat dendam , marah atau satu penghinaan kita tidak tahu.
“Kita tidak mahu membuat spekulasi sama ada tindakan mereka ini ada hubung kait dengan peristiwa keputusan mahkamah kelmarin, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustapa yang turut hadir pada majlis itu berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dan merujuk secara terperinci daripada rakaman CCTV yang ada di tempat kejadian.
“Setakat ini kita tidak mahu buat spekulasi sebaliknya perkara ini akan kita siasat siapa yang terlibat dan bila ianya dilakukan.
“Saya difahamkan perkara ini baru disedari pagi tadi ketika mereka datang ke pejabat dan kita berharap mereka yang ternampak kejadian ini dapat membantu kami,” katanya.
Dato’ Jamshah berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada wakil UMNO dan juga pejabat Adun yang terbabit.
HULU TERENGGANU HARI INI
Kalu cat hijau, orang PAS yang punya kerja tu kot?
ReplyDelete